Seumur hidup aku
Ini yang pertama
Pintu hatiku diketuk
Oleh dua wanita
Punyai ciri selama ini kucari
Berbeza wajah ayunya tetap pasti
Begitu kontranya petikan lagu diatas yang dipetik dari nyanyian UKAYS dengan kisah ku, seorang insan yang bergelar wanita. Sepanjang hidupku, dari dulu hingga kini ( pada kali terakhir hati ini di'check') hanya ada seorang lelaki yang dari dulu hingga kini dia setia di tempat teratas carta hatiku. Ya, lelaki itu adalah lelaki yang paling aku kagumi, hormati dan paling aku sayangi walau kadangkala atau mungkin setiap masa lelaki itulah yang sering menjadi teman bergaduhku. Ya, mungkin lelaki itu tidak sekacak Tom Cruise atau tidak seromantik Aaron Aziz namun bagi aku dia adalah lelaki yang paling istimewa dalam hidupku. Ya, dialah lelaki itu, ayahku Sulfan Syah Bin Mahyuddin.
Benar, ayah bukannya seorang yang berpelajaran tinggi mahupun seorang jutawan yang memiliki wang berjuta-juta di dalam bank. Dia hanyalah peniaga kecil yang dengan jerih payahnya, anak-anaknya dapat mengisi perut dan hidup seperti insan yang lain. Benar, kadangkala pemikiran ayahku sering menjadi kritikanku. Benar, setiap katanya kadangkala sering aku bidas. Dan, benar kadangkala setiap apa yang dilakukannya seolah tidak kena di mataku. Namun, aku tidak dapat lari dari realiti itu. Dia adalah ayahku. Ayah yang paling aku sayangi. Ayah yang walaupun diberi peluang takkan ku tukar ganti. Dia ayahku. Ayah yang walau kadangkala dia lupa usiaku namun tak pernah gagal mengingati makanan kegemaranku. Ayah yang tidak pernah memberikan hadiah di setiap hari jadiku namun tidak pernah lupa untuk membelikan makanan kegemaran anaknya. Ayah yang kadangkala lupa titipan ummi (membeli barangan di kedai) namun tak pernah lupa setiap kali kami adik beradik menitip barang-barang keperluan terutama sewaktu ingin pulang keasrama. Ayah yang jarang bercerita tentang kejayaan anaknya namun sering berbangga dengan kejayaan anak-anaknya. Ayah yang kadangkala senyum dan lebih banyak mennganguk ketika mendengar orang bercerita namun rancak berkisah tentang kebun, tanah dan kisah remajanya saat bercerita dengan anak-anaknya.
dengarlah
hayatilah
bingkisan rindu dari anakmu yang jauh
kau, ayahku
lelaki yang paling aku sayangi
kau, ayahku
lelaki yang paling aku hormati
walau kau bukan seorang pensyarah
walau kau bukan seorang hartawan
mahupun seorang ustaz
aku bangga karna aku anakmu
aku bangga dengan jerih payahmu
membesarkan kami adik-beradik
kau, ayahku
lelaki yang paling aku kagumi
yang karna kamu
aku belajar erti kegigihan
yang karna kamu
aku tahu
erti sebuah kehidupan
Saat aku menaip entri ini, entah kenapa air mata ini terasa murah kurasakan. Terlampau banya yang ingin ku nukilankan, masih terlampau banyak kisah yang aku ingin kongsikan dan masih terlampau banyak yang aku ingin lakukan bersama ayahku. Aku bersyukur kepada ALLAH kerana aku tidak pernah dibutakan dari kasih sayang kedua orang tuaku. Kerana walaupun aku sering mengkritik, membidas segalanya namun di penghujung hari aku sentiasa sedar kasih mereka dan tidak dilupakan karna kasihnya ILLAHI yang membuat aku seperti aku pada hari ini. Syukur pada ILLAHI karna aku masih punya mereka dan semoga mereka dipanjangkan umur agar aku dapat berbakti kepada keduanya...Inilah bingkisanku, Bingkisan Rindu buat Insan Bernama Lelaki........
Ulasan
Catat Ulasan